Wednesday, June 8, 2011

Dahulu.. Langit dan Bumi itu menyatu..




..Ia tentang kita..


Dari muka jendela.. Cuaca tidak menentu. Kadang- kadang hujan, terkadang panas. Beberapa minit hujan, awan berarak menampakkan sinar mentari, kembali terang. Dan panas.. Inilah gaya cuaca di daerah khatulistiwa. Unik bagiku. Tersimpan seribu sesuatu yang mampu membuat kita tersenyum andai mampu merungkaikannya. Senyum bahagia. Bersama hikmah alam ciptaanNya, dalam dua masa.



“Maka Dia menjadikannya tujuh langit dalam dua masa dan Dia mewahyukan pada tiap-tiap langit urusannya. Dan Kami hiasi langit yang dekat dengan bintang-bintang yang cemerlang dan Kami memeliharanya dengan sebaik-baiknya. Demikianlah ketentuan yang Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui.” (Surah Fusilat: 12)

“dan apakah orang-orang kafir itu tidak melihat bahawasanya langit dan bumi itu keduanya dahulu adalah suatu yang padu (satu unit penciptaan), kemudian kami pisahkan antara keduanya. Dan daripada air Kami jadikan segala sesuatu yang hidup. Maka mengapakan mereka tiada juga beriman?”. (Surah Al-Anbia: 30)



Imbas sekejap..


Peperiksaan Semester 5 lepas benar- benar sudah menguji ketahanan mental dan psikilogiku, begitu terkesannya pada jasad yang melemah dek subjek- subjek content yang agak berat bagiku untuk difahami sebelum melangkah ke dewan peperiksaan. Benarlah kata senior- seniorku, “sem 5, bersiap sedialah, itu sem kejatuhan!”

Allahuakbar, mendengarnya di awal semester sudah agak menggetarkan lutut. Debar pun kian bertambah frekuensinya apabila fasa praktikum sudah melambai- lambai selamat datang dari jarak yang agak jauh, dan diri mula terasa hilang aturan waktu. Kerja- kerja kursus masih belum sempurna, hawa peperiksaan sudah terhidu. Sungguh, tanpa hati yang tegar dan tekad, kita boleh sahaja tumbang sebelum meredah ribut ujian dunia ini.




“ Mak, hamba takut gagal.. Ada banyak benda hamba tak pandai, tak cekap..”

“ La.. Kenapa nak takut.. Kalau gagal, ulang jelah sampai boleh. Kalau gagal juga, pulanglah, duduk dengan mak.”



;) Mudah, dan terus meringankan beban fikiran. Begitu jawab seorang ibu bila diri mengadu di talian saat akal tidak mampu menampung rumus kira- kira yang agak memeningkan sebelum menghadapi kertas Energetic in Chemistry. Soalan yang dikatakan akan dikeluarkan dalam Bahasa Melayu menambah lagi kerunsingan apabila segala bahan rujukan yang ada adalah dalam Bahasa Inggeris. Apabila ditafsirkan ke dalam Bahasa Melayu, akal jadi bercanggah, dan kefahaman makin sukar digapai dalam menggambarkan istilah- istilah yang agak ‘janggal’ jadinya. Kepayahan mula menekan apabila perkataan- perkataan yang ada dicampur dengan rumusan kira- kira yang sedalam- dalamnya tentang sesuatu yang.. tidak nampak! Itulah ilmu Kimia, yang baru setitik ingin diteguk.



“ Mak doa semua anak mak semoga mudah dalam segala benda... dunia akhirat..”



;) Sejurus selepas kata doa ibu didengar, hati mula tenteram... Segala nombor yang seakan merebut ruang dalam fikiran seperti berkecai lembut dan terbang jatuh perlahan, duduk pada sudut yang tepat. Pujukan ibu dari kegagalan, benar- benar menyejukkan hati.. Begitu ibu, tidak pernah memaksa dalam meninta ilmu. Bagaimana mahu rasa terpaksa? Merangkak atau berlari, ibu tetap tersenyum bersama. Dan setiap kata yang terbit dari bibirnya, sentiasa buat diri berfikir. Kata yang mudah, tapi penuh hikmah. --Terima kasih mak.......

Dan di sana.. kehadiran sahabat- sahabat yang memotivasikan, secara tidak langsung, sangat membantu..;);) --Raihanah.. yang tak jemu membangunkan saya saat ketiduran.. Terima kasih rai.. ^, Hasana yang.. bagai ibu membawakanku nasi goreng masakannya yang sedap lagi mengeyangkan saat selera makan hilang entah ke mana.. Thank you dear.. ^, Dan Hazimah.. gadis rajin, nota yang penuh di dinding.. Zimah, awak sungguh memotivasikan saya! Thanks so much! saya benar- benar bangga dengan kalian bertiga!-- Terasa bagai dihujani rahmat.. Terima kasih buat semua sahabat.. Tanpa kalian, aku mungkin rebah sebelum masanya.. Ya, perjuangan kita masih belum selesai.. Dan tidaklah akan selesai, hingga ke liang lahad, insyaAllah.



“... Allah mengangkat darjat orang-orang yang beriman dan orang-orang yang diberikan ilmu pengetahuan dengan beberapa darjat.” (Al-Mujadilah: 11)



“ Aku anggap.. detik peperiksaan itu seperti detik kematian. Bersedia, atau tidak, banyak atau sedikit bekalnya, detik itu tetap akan berlaku, dan kita mahu atau tidak, tetap harus kita lalui.”

Kalimah seorang sahabat yang kini sedang menuntut ilmu kedoktoran di sebuah universiti tempatan itu sentiasa menempa telinga akal, terus menyusup ke hati.. saat kaki sudah sampai masanya untuk melangkah ke dewan peperiksaan bila hati masih terasa bimbang akan ketidaksempurnaan persediaan, kalimah itulah yang selalu terngiang, lalu hati pun tenang dan berserah.. ;) --Terima kasih Zurina.. Aku sentiasa rindu kamu.. sahabat selamanya-- Dan aku mula faham, persediaan menuju kematian itu harus lebih hebat daripada segala persediaan. Sungguh kecillah persediaan menghadapi ujian dunia ini.

Kembali..


Pernah seorang pensyarah, yang amat cintakan kehijauan dan kebiruan alam menimbulkan persoalan di dalam kelasnya, Diversity and Biology..


“Kamu semua rasalah kan, langit sebenarnya berada di mana? Tinggi mana?”


Begitu persoalannya. Seluruh kelas membungkam. Saya pula terkenang waktu kecil di sekolah rendah dulu.. persoalan itu sering menerpa waktu mata ini selalu asyik melihat cantiknya awan yang berarak di bawah langit.. Cantiknya warna langit, biru yang benar- benar asli dan memukau. Dan langit, luasnya.. Tapi di mana letaknya langit itu? Setinggi manakah? Sehingga ia kelihatan tidak bersempadan! Dan bila malam, bintang- bintang yang kelihatan bertambah mengujakan.. Subhanallah, sudah terasa tiada yang lebih indah dari itu. ;) Maka, apakah yang menghalang kita untuk merasakan dan mempercayai dengan sebenarnya tentang nikmat yang lebih nikmat dari dunia ini? Yakni syurga.. Sedang dunia yang cantik ini sudah terbentang di depan mata..

Hampir semua antara kita tahu, langit itu ada tujuh lapisnya. Tetapi sedarkah kita bahawa apa yang kita lihat kini Cuma lapis pertama? Itu pun sudah terlebih memukau pandangan. Luasnya menghampar alam.. Tingginya tak tercapai dek akal apatah lagi oleh kehebatan teknologi yang digahkan. Merenungkan ayat 12, surah Fusilat dengan capaian akal yang masih amat terhad ini, tidakkah kita terasa alam ini sudah cukup membuktikan segalanya? Allah menjadikan tujuh langit dalam dua masa. Allah mewahyukan pada tiap- tiap langit itu pula dengan urusan masing- masing, di mana langit pertama dihiasi olehNya dengan bintang- bintang dan dipelihara olehNya sebaik- baiknya. Subhanallah.. Langit pertama sudah tidak terkaji oleh manusia, apatah lagi yang lebih dari itu.


Tentang bintang, mengikut kajian manusia, Matahari itu juga merupakan salah satu bintang, yang menjadi pusat kepada galaksi yang diduduki kita, Galaksi Bima Sakti. Hasil kajian para saintis, Matahari itu saiznya tersangat kecil jika ingin dibezakan dengan banyak bintang yang kelihatan di waktu malam.. Tahukah kita, ada banyak bintang yang saiznya lebih besar daripada ukuran tiga galaksi? MasyaAllah.. bintang- bintang yang kita lihat berkerlip cantik di waktu malam itu saiznya melebihi jangkauan akal kita! Bayangkan, Matahari yang kecil itu sudah sangat membuak panas, apatah lagi bintang- bintang gergasi lain yang hidup? Dan di sana pula terdapat kumpulan- kumpulan galaksi yang begitu banyak..! Dan segala galaksi itu baru cuma di langit pertama..! Allahuakbar.. Apakah yang menghalang kita untuk tidak meyakini panas dan membuaknya api neraka??

Pengajian Physical Earth and Space semester lepas sungguh mengujakan. Mengimbau beberapa teori Barat tentang penciptaan alam sangatlah ‘menghiburkan’. Antara yang famous adalah Big Bang Theory.. Antara yang lainnya, terdapat juga Steady State Theory dan Pulsing Theory.

Secara ringkas, teori Big Bang mengatakan alam ini tercipta oleh satu letupan (Big Bang) jirim panas yang sungguh hebat dan kuat meledak, terus menghasilkan galaksi- galaksi termasuk planet serta bintang- bintang. Galaksi- galaksi ini pula dikatakan akan menyusut dan akhirnya alam ini akan kosong begitu sahaja. Teori Steady State pula mengatakan bilangan galaksi yang ada di ruang angkasa adalah tetap dan galaksi baru akan terbina memenuhi ruang angkasa yang kosong, menghasilkan saiz bagi jisim alam semesta yang kekal tetap. Keadaan tetap yang mantap (steady state) ini dikatakan tidak akan diganggu sama sekali. Manakala teori Pulsing pula membicarakan tentang alam semesta yang terhasil daripada proses pengembangan dan pengecutan yang silih berganti. Ledakan berlaku apabila alam mengecut kepada saiz tertentu dan ia mula mengembang semula. Proses ini mewujudkan alam yang bergetar dan berdenyut (pulsing).

Kawan- kawan satu kursus pasti ingat bagaimana salah satu soalan esei peperiksaan kita hari itu.. Soalan yang menghendaki kita untuk menilai Teori Big Bang.. Kepada yang memilih soalan tersebut, bagaimanakah jawab kalian? Soalan yang saya kira sangat menarik. Namun, bila ingin dirungkaikan, jemari agak kaku kerana itu teori saintis, siapa kita untuk menilai teori tersebut? Adakah kita menolak atau menerima bulat- bulat? Haruslah ada hujah atau bukti yang mantap untuk setiap sesuatu nilaian. Tidak harus juga kita terus menilai, apatah lagi menghukum sesuatu tanpa mendengar, melihat atau mengalami sendiri terlebih dahulu.

Mengenang kembali persoalan siapa kita untuk menilai teori saintis itu, di sini, kitalah hamba yang paling bertuah. Kenapa? Kerana kita punya Kitab Suci Al- Quran sudahpun menjawab persoalan tersebut jika kita mendalami, memikir, menghayati dan mengecapinya. Namun, jika kita tidak merasa kitab itu diturunkan untuk kita, bagaimana bagaimana kita mahu yakin? Percaya pada suratannya, tetapi tidak yakin dalam siratan, goyanglah pohonnya. Ini merupakan persoalan yang hanya boleh dijawab dan diterima dengan; iman.

Allah.. iman pula adalah persoalan pokok dalam kehidupan. Iman, yang tidak hanya melibatkan ucapan, tetapi lahir dari hati dan diterbitkan dengan amalan. Iman, pada enam perkara; yang mana semua pelajar Islam tahu sejak di alam pra persekolahan. Namun, bagaimanakah semaiannya? Adakah pohon iman kita telah membuahkan hasil taqwa? Atau, adakah masih belum berdahan walau satu? Bagaimana akarnya? Adakah kering tak tersiram? Sedang akarlah punca segala hasilnya.. Tiada akar, tiadalah tumbuhnya..! Rosak akar, rosaklah dahannya.. Sedang keenam- enam perkara iman itu mempunyai tuntutan- tuntutannya masing- masing sebelum kita menggelar diri sebagai mukmin. Adakah kita lupa?



Percaya kepada Kitab Allah, Al- Quran, merupakan salah satu daripada enam perkara yang wajib kita imani tanpa ragu. Kembali kepada persoalan yang melibatkan teori penciptaan alam oleh saintis Barat, tidak cukupkah ayat 30 dalam Surah Al- Anbia menjawab persoalan tersebut? Dalil naqli yang sudah tersedia sejak lampau itu dan terbukti kini, apakah kita masih tidak yakin? Cuba kita kaitkan ia dengan hasil capaian akal para saintis tersebut. Dan cuba kita pula fikir- fikirkan..

Melihat firman Allah, dahulunya langit dan Bumi ini menyatu.. Kemudian, Dia pisahkan keduanya.. Dan daripada air, Dia hidupkan segala sesuatu..

Teori Big Bang mengatakan alam ini tercipta dengan satu letupan atau ledakan kuat dan akhirnya menyusut: Bukankah Allah telah memisahkan antara kedua langit dan Bumi? Bagaimana caranya? Cara letupan; boleh diterima akal. Menyusut? Bukankah Allah telah mengatakan alam ini akan hancur? Tiada pula unsur air yang diketengahkan dalam teori tersebut. Sedang kajian terkini telah membuktikan bahawa sesuatu jisim hidupan tidak akan mampu hidup tanpa air, tidak akan mampu tercipta tanpa air. Bumi sendiri menakungkan lebih kurang 70% permukaan berair. Badan manusia? Adakah sel- sel yang membina tisu lalu membentuk organ dan sistem mampu berlaku tanpa air? Adakah ada sesuatu di alam ini mampu terjadi tanpa air? Tidak. Akan layulah segalanya bila molekul air tiada wujud.

Begitu ilmu; semakin diterokai, semakin banyak yang dijumpai, semakin terasa luasnya, dan semakin hampir terbukti kalamNya.. Misalnya, saintis kini telah mengesahkan bahawa Matahari itu memiliki orbit dan bergerak pada orbitnya mengelilingi pusat galaksi pada kelajuan 220 km/s!



Dan Dialah yang telah menciptakan malam dan siang, matahari dan bulan. Masing-masing dari keduanya itu beredar di dalam garis edarnya. (Surah Al Anbiyaa: 33)


Sedang dahulu, mengikut teori Heliocentric yang diasaskan oleh saintis Copernicus, Matahari yang dikatakan menjadi pusat galaksi Bima Sakti berada tetap pada kedudukannya. Teori ini sekaligus membaiki teori Geocentric terdahulu oleh saintis Ptolemy yang mengatakan Bumi sebagai pusat galaksi Bima Sakti. Benar, Mataharilah pusat galaksi kita. Namun, pendapat Copernicus itu dihentam teruk oleh para paderi Kristian, lalu capaian ilmu Sains terus diasingkan daripada ilmu agama mereka. Dan bukankah setelah itu mereka mengalami Zaman Kegelapan? Itulah akibat mengasingkan ilmu akal dengan ilmu agama, yang mana akhirnya kita tidak akan dapat lari daripada hakikat penciptaan yang membuktikan kewujudan; Allah Yang Maha Mencipta, Yang Mengetahui segala rahsia.





“Dia memasukkan malam ke dalam siang dan memasukkan siang ke dalam malam. Dan Dia Maha Mengetahui segala isi hati” (al-Hadid, 57: 6)



Terbukti, apabila akal dipisahkan dengan iman yang lahirnya di hati, akan lompanglah hasil yang didapati. Sudah banyak rahsia alam yang terselongkar telahpun termaktub di dalam Al- Quran. Maka, apakah lagi yang menghalang kita untuk tidak menjalankan tugas sebagai hambaNya? Mengapa kita hanya bertungkus- lumus mempersiapkan diri dengan ilmu akademik tetapi tidak sekuat itu mempersiapkan diri sebagai hamba Allah? Bukankah segalanya milik Allah?



Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku. Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya. Ingatlah! Sesungguhnya jenis manusia tetap melampaui batas (yang sepatutnya atau yang sewajibnya). Dengan sebab ia melihat dirinya sudah cukup apa yang dihajatinya. (Ingatlah) sesungguhnya kepada Tuhanmu lah tempat kembali (untuk menerima balasan). (Surah Al- ‘Alaq: 1 - 8)




Ingatlah, segala amal kebaikan tanpa iman pula adalah ibarat fatamorgana, indah cuma di mata, harapan penuh di hati, namun tiada memberi apa- apa manfaat di akhirat kelak; yang abadi..


Dan orang-orang yang kafir pula, amal-amal mereka adalah umpama riak sinaran panas di tanah rata yang disangkakannya air oleh orang yang dahaga, (lalu ia menuju ke arahnya) sehingga apabila ia datang ke tempat itu, tidak didapati sesuatu pun yang disangkanya itu (demikianlah keadaan orang kafir, tidak mendapat faedah dari amalnya sebagaimana yang disangkakannya) dan ia tetapi mendapati hukum Allah di sisi amalnya, lalu Allah menyempurnakan hitungan amalnya (serta membalasnya) dan (ingatlah) Allah amat segera hitungan hisabNya. (An- Nur: 39)





P/s: Mohon maaf bila diri terlalu banyak kekurangan. Harap dimanfaatkan mana yang baik, diteladani mana yang silap.



Buat sahabat- sahabat khususnya PISMP SN1..

..Diamku kagumi kalian.. Kalianlah pembangkit azamku. Kalianlah penyemarak tekadku.. 

Sahabat.. Perjalanan ini menuju esok dalam ketidakpastian bersama takdir yang telah siap ditentukan.. Hari ini, kita masih berpeluang mentadbir apa yang di depan untuk hari esok insyaAllah.

Semoga apa yang digenggam hari ini mampu membawa kita melihat wajah Tuhan yang indah di hari esok yang kekal.. Betapa indahnya alam ciptaanNya ini, betapa cantiknya dirimu, bayangkanlah bagaimana Tuhan Yang Mencipta.. Namun, hanya pertemuan yang abadi kan mampu mengungkapkannya tanpa bicara, pasti.

.. Atau Dia akan berpaling daripada melihat wajah kita yang dulunya sombong di BumiNya? Mohon dijauhkan dari keadaan yang amat menyakitkan itu..

Sahabat.. Tiada yang lebih indah dari kembara menuju cahaya di atas cahaya, cinta di atas segala cinta... Ayuh kita terus berusaha..!

2 comments: